nuffnag

Thursday, December 2, 2010

Didik anak bawa bekal





SEBAGAI ibu bapa, kita memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memastikan anak-anak mendapat makanan yang berkhasiat, selamat dan seimbang.
Anak-anak wajar didedahkan dengan tabiat pemakanan yang sihat selain perlu tahu bahawa setiap hari tubuh badan mereka memerlukan zat-zat makanan tertentu yang cukup untuk menjalani kehidupan yang sihat.
Pada masa sama, mereka juga perlu dididik bahawa pengambilan gizi makanan yang tidak seimbang akan memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek dan panjang terhadap diri mereka seperti kegemukan, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.
Antara amalan terbaik ialah menggalakkan anak-anak membawa bekalan makanan dari rumah ketika ke sekolah.
Melalui cara ini juga sebagai ibu bapa, kita dapat memastikan anak-anak mendapat khasiat secukupnya daripada pemakanan mereka kerana kita sendiri yang menyediakan makanan tersebut.
Amalan membawa bekalan makanan bukan sekadar mampu mencegah anak-anak daripada kes keracunan makanan bahkan memupuk sikap jimat-cermat.
Begitu jugalah yang diamalkan oleh selebriti TV terkenal, Khairunnisak Dzun Nurin, 32, dalam memastikan pemakanan seharian anak-anaknya.
Walaupun sibuk, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini akan memastikan anak-anaknya mendapat makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari.
Anak-anaknya, Farha Inayah Sheikh Farhan, 7, Sheikh Umar Farhat, 5, dan Sheikh Suhail Mahdi, dua tahun merupakan kanak-kanak yang berada dalam lingkungan memerlukan khasiat yang seimbang dalam tumbesaran mereka.
''Setiap hari saya akan menyediakan menu seperti nasi, pasta dan susu dan menu-menu ini merupakan makanan harian yang saya berikan serta bekalkan kepada anak-anak saya.
''Walaupun masing-masing mempunyai cita rasa berlainan dan cerewet dalam soal makan, saya akan pastikan mereka memperoleh zat yang secukupnya untuk tumbesaran mereka.
''Di samping itu juga saya turut memberikan susu kepada anak-anak saya mengikut keperluan masing-masing agar mereka memperoleh kalsium yang mencukupi,'' ujarnya.
Tambah Khairunnisak lagi atau lebih mesra disapa Anis, pola pemakanan anak-anaknya sudah pasti berbeza kerana masing-masing berbeza umur.
Jelasnya lagi, umur turut memainkan peranan dalam pengambilan makanan berkhasiat kerana selain mengekalkan keseimbangan ia turut membantu mencapai berat badan yang ideal, membina dan mengekalkan fungsi tubuh yang sihat.
Katanya, bagi kanak-kanak yang berumur satu hingga enam tahun, mereka memerlukan zat-zat seperti magnesium, kalsium, vitamin D serta vitamin A dalam pembentukan tulang, gigi serta tisu-tisu badan.
Sementara bagi kanak-kanak yang berumur antara enam hingga 12 tahun pula memerlukan omega 3, omega 6, vitamin B3 dan vitamin B6 dalam memastikan badan sentiasa sihat dan dilindungi daripada penyakit.
Khairunnisak juga tidak menafikan bahawa ibu bapa berperanan dalam menjadikan diri sebagai contoh kepada anak-anak.
Untuk itu, beliau sendiri turut mengamalkan pemakanan sihat dan berkhasiat selain mengambil pelbagai jenis suplemen untuk memastikan badan sentiasa sihat.
''Walaupun saya sentiasa sibuk, ia bukanlah alasan untuk tidak memantau pemakanan anak-anak dan diri sendiri.
''Selain memastikan anak-anak memperoleh kalsium yang secukupnya melalui pengambilan susu, saya turut memastikan bahawa menu yang disediakan mengandungi buah-buahan dan sayuran serta tidak mengambil terlalu banyak garam dan gula serta membanyakkan ikan dan kekacang untuk pengaliran darah.
''Saya juga tidak menggalakkan anak-anak saya mengambil makanan segera dan kalau ada pun cuma sebulan sekali,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...